Dulu, aku hanya lelaki biasa yang sering melakukan dosa, sibuk dengan hal duniawi. Jarang sekali aku
memikirkan hal akhirat. Sampai satu ketika, hidayah itu datang. Alhamdulillah kerana Allah memilih diriku untuk ke arahNya.
Di penjuru usia, aku menangisi akan semua dosa yang telah ku lakukan. Aku cuba bangkit untuk melakukan perubahan sedikit demi sedikit. Sudah pasti apabila seseorang itu melakukan penghijrahan, dugaan akan datang. Aku akur. Orang sekeliling akan sedikit merasa pelik dengan perubahan yang ada.
"Kenapa engkau berubah.."
"Kenapa alim sangat sekarang.."
"Kenapa itu dan kenapa begini ?"
Pelbagai persoalan dan respons yang akan telah ku terima. Pada kawan-kawan yang memahami, mereka hanya tersenyum dan mendoakan dalam hati. Tapi pada mereka yang seakan kurang puas hati, mereka mula mempersoalkan.
Pada mulanya aku selalu terfikir, bagaimana untul aku hadapi mereka? Sememangnya keadaan itu mulanya sedikit melemahkan aku. Aku sering menangis. Pada Allah aku luahkan. Aku mohon hati aku dikuatkan dan mohon aku istiqomah dalam melakukan perubahan. Alhamdulillah, tidak lama kemudian mereka semua senyap seolah-olah dapat menerima perubahan dari aku.
Sahabat-sahabatku, inginku suarakan rasa hati ini. "Jangan ditanya kenapa aku berubah, tetapi tanyakanlah pada diri mengapa kita perlu berubah". Manusia akan berubah bila-bila masa saja dan mereka berubah kerana untuk mendapat redha Allah. Apabila seseorang itu ingin berubah, berilah semangat kepada mereka.
Walaupun mungkin kita bukanlah muslimin yang sempurna, tapi sekurang-kurangnya setiap pertanyaan dan reaksi kita jangan sampai melemahkan orang yang ingin berubah. Perubahan itu perlu dilakukan, bukan kerana suka-suka , tapi kerana Allah. Kalau dulu kita mungkin kurang baik, kita boleh berubah untuk jadi yang lebih baik.
Adalah lebih baik kita mendoakan sahabat yang ingin berhijrah dari kita mempersoalkan perubahan itu. Dan jika kita mempersoalkan perubahan seseorang itu ibarat kita mempersoalkan itu ibarat kita mempersoalkan kepada Allah. Satu hari nanti, kalian yang lain pun akan berubah dengan izin Allah.
Berusahalah untuk mencari hidayah Allah dan sentiasa bersangka baik kepada orang lain. In syaa Allah, nikmat berhijrah pasti dirasai. Yang memakai seluar pendek akan rasa selamat bila memakai seluar yang menutup aurat. Yang meninggalkan solat akan rasa tenang bila melakukan solat, dan yang mengabaikan al-Quran dan sunnah akan terasa dekat dengan Allah dan Rasul bila membaca dan memahami.
In syaa Allah, kepada rakan-rakan di luar sana yang sentiasa menyokong terima kasih diucapkan, hanya Allah saja yang dapat balas jasa kalian. Berubahlah selagi ada masa dan berubahlah dengan hati yang IKHLAS kerana Allah.