Isnin, 15 Disember 2014

Jalan Fisabilillah

Jalan itu, panjang, tenang, lapang...
Inginku laluinya

Jalan itu,
Sedamai air yang mengalir,
Selembut bayu yang melambai,
Perlahan-lahan ia menyampaikan salam,
Menyambut aku meniti di atasnya.

Jalan itu,
Titisan fisabilillah,
Ketenangan,
Kedamaian,
Ku harapkan,
Meskipun ranjau dan duri itu,
Di sisi jalan,
Kerna Jannah itu indah.

Jalan itu,
Tumpah titis-titis mutiara,
Menjadi senjata,
Menjadi kekuatan,
Segalanya untuk DIA.

Jalan itu,
Sabar,
Redha,
Pasrah,
Tawakal,
Ubat dan penawar,
Kerna DIA melihat
Menilai keringat usaha,
Hanya kepada DIA,
Serah segalanya.

Jalan fisabilillah,
Janji DIA pasti,
Syurga Firdausi para syahid,
Neraka jahanam para pendusta.

Ahad, 14 Disember 2014

Rasulullah Yang Dirindui

Zamanmu Muhammad sudah berlalu,
Namamu masih melekat di hatiku,
Tak pernah bersua malah berjumpa,
Hanya doa dan selawat selalu padamu,
Kuharapkan syafaatmu di Mahsyar sana.

Sinar cahayamu tetap kami ingati,
Sepanjang zaman namamu tetap kami hargai,
Kami sayangi mukjizatmu Al-Quran yang suci,
Menjadi bukti setia diri kami,
Agama terpelihara, Islam agama kami,
Muhammad ku doakan kau selalu mendoakan kami.

Rasulullah SAW, begitu agung namamu,
Rindu bertemu dengan mu,
Rindu pada suri tauladan yang kau berikan,
Rindu pada kesederhanaan dan kepedulianmu,
Rindu pada kedamaian yang kau ciptakan,
Rasulullah SAW, rindu kami pada pemerintahanmu,
Rasulullah, rindu kami juga pada keadilanmu,
Kami sanjungi pada keimananmu dan ibadahmu.

Umatmu kini Muhammad sering alpa,
Anugerah Allah tidak diharga,
Hubungan denganNya tidak dijaga,
Juga hubungannya denganmu mereka alpa,
Ku berdoa pada Yang Esa,
Moga ada jalan pulang untuk mereka,
Bersama menghayati agama kita semua.

Muhammad SAW, aku rindu padamu,
Kasihku untukmu, selawat kukirim untukmu Muhammad,
Sebagai bukti sayangnya daku padamu,
Moga Allah kurnia dan merahmati hubungan ini,
Kau hargai, kusayangi lagi kuhormati.

Muhammad, moga suatu saat nanti,
Dapat kubertemu denganmu,
Dengan redha Allah padaku,
Moga dapat kita bersama di sana,
Syurga tempatmu juga moga untukku,
Muhammadku rindu padamu.

Selasa, 9 Disember 2014

Ratib Cinta

Saat Ratib Cinta bergema,
Aku tertunduk kaku,
Memikul labuhan dusta dan dosa semalam,
Merenung mencari kembali lambaian kasihNya,
Setelah melewati silam yang kelam suram.

Saat Ratib Cinta bergema,
Titis-titis air mata rindu mengalir lesu,
Terhimpit antara keluh kesah dunia yang tidak pernah sudah,
Merenung mencari kembali lambaian kasiNya,
Setelah silam durjana mematikan hatiku.

Saat Ratib Cinta bergema,
Terpaku aku di hamparan sejadah rindu,
Meniti sepertiga malam yang kaku bisu,
Menanti sinar cahayaNya menyuluh,
Suram hati yang gersang tanpa kasihNya.

Ratib Cinta akan terus bergema,
Tanpa jemu dan lelah,
Menanti pengampunanNya,
Kerana aku tahu Dialah segalanya.

Ya Allah,
Andai ini Ratib Cinta terakhirku,
Ampunisegala khilaf semalamku,
Ya Rabbi.

Credit By : Harisah Zainul

Solusi

Dunia makin racau,
Manusia telanjang tanpa malu,
Sang adil dituduh penipu,
Maksiat itu menjadi perlu,
Oh duniaku !

Maka harus ditanya pada diri,
Apa tugas kita disini?,
Lalu tiada syak lagi,
Kita mesti baikinya kembali!

Tapi semuda itu?
Semudah mengetuk beduk?
Semudah mulut melepas lelah mengucap kata?
Semudah lidah belitmu menipu pada kertas?

Bagi hati yang tahu beratnya amanah ini,
Jiwa suci yang benar faham akibatnya,
Bersiap dengan zirah iman yang tegar,
Berbaris soldadu pada saf yang utuh.

Dan deruan nafas senantiasa ghairah,
Ingin melihat dunia ini damai,
Ghairah ini dipateri kuat pada sanubari,
Api tak mampu cairkannya,
Karat tak mampu gugatnya.

Lantas,
Mereka bekerja,
Mereka bertindak,
Sehabis upaya mereka,
(ku ulang) Sehabis upaya mereka.

Dengan tenaga,
Dan masa,
Dan darah,
Dan harta,
Dan nyawa,
Tertumpu pada satu matlamat.

Biar dihina orang menghina,
Dimaki orang yang memaki,
Mereka tetap keras-tidak berganjak.

Kita ?
Ah! Lemparkan ketepi sepatu penakutmu,
Biar berkaki ayam namun biarkan jiwamu bebas,
Sebebas helang di udara,
Tiada rasa takut pada ketinggian.

Dan,
Tempatkan dirimu dalam kelompok mereka.

Yang hati mereka hanya ada Tuhan yang Esa.

Dalam,
Setiap penjuru ruang oksigen hidup.

Itu solusi,
Itu jawapan,
Untuk membaiki dunia kembali.

Isnin, 8 Disember 2014

Engkau Tempatku Bersandar

Terkadang aku rapuh,
Menyerah atas asaku,
Terkadang aku takut mencuba,
Kerana tidak siap untuk kalah.

Dalam sudutku dunia begitu keras,
Dalam pandangku dunia begitu luas,
Fatamorgananya tanpa batas,
Memupus semangat,
Menenggelamkan tanpa bekas.

Ku terdiam ditengah keramaian,
Ku berjalan di tengah kecepatan,
Ku berlari di tengah mesin-mesin kehidupan,
Tidak cukup saku untuk sebuah perubahan.

Benarkah demikian?
Ataukah sekadar angan-angan,
Menyerah sebelum berperang,
Mematikan asa sebelum berjuang.

Terlalu baik untukku,
Namun tidak untukMu,
Terlalu Wah untukku,
Namun tidak untukMu.

FirmanMu referensi motivasiku,
Sabda NabiMu jalan bimbinganku,
Untuk terus maju dan melangkah,
Menuju ke arah redhaMu.

BagiMu semua kecil,
BagiMu semua mudah,
BagiMu semua boleh,
Hanya kepadaMu aku berusaha dan berdoa.

Meski tertatih,
Ku memantapkan diri,
Meski letih,
Ku tegakkan jiwa dan raga ini.

Kerana ku yakin,
Engkau Maha Melihat,
Engkau Maha Mendengar,
Engkau Maha Mengabulkan,
Tidak sekadar yang aku inginkan.

Alhamdulillah syukur ku ucapkan,
Bismillah daya upaya ku gerakkan,
Ya Aliimu Yaa Khobir Yaa Fattahu Ya Qodir,
Anta a'lamu bi sirri wal a'alamiin.

Credit By : Aris Aziz

Renungan Alam

Lihatlah pada alam jagat maya ini,
Lihatlah pada tampaknya dirimu,
Tidak terjangkau maha hebatnya ciptaan,
Tiada siapa yang mampu,
Kecuali Dia yang termampu,

Tika renungan itu memuncak,
Hati nurani mendetik rasa,
Bagai ingin bersatu dalam pelukan,
Pada indahnya alunan alam ini,
Terbentang sempurna tiada tepi,

Kerdilnya terasa diri,
Lantas memuji dan mensyukuri,
Pada nikmat yang mengalir di setiap denyut nadi,
Moga hamba menjadi pencinta hakiki,
Perindu pada pertemuan Illahi...

Hidayah Menanti Atau Mencari

"Wahai anakku, berimanlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Dia sahaja yang berhak disembah."

"Aku tidak akan menyembah Tuhanmu," jawab anaknya.

"Wahai anakku, marilah naik kapal bersama-sama kami, janganlah kamu kufur dan mengingkari perintah Allah S.W.T lagi. Janganlah kamu mengikuti orang-orang yang ingkar itu."

"Aku akan mendaki gunung yang tinggi itu sehingga aku terlepas daripada banjir besar ini," jawab anaknya.

"Sesungguhnya hari ini tidak ada seorang pun yang akan selamat kecuali yang mengikuti aku dan mereka yang dirahmati Allah sahaja,"

Selepas kata-kata itu, maka lenyaplah si anak daripada pandangan si ayah kerana ditenggelami banjir.

Begitulah kata-kata Kan'an yang penuh bonggak dan sombong kepada ayahnya Nabi Nuh. Dia adalah salah seorang yang ditenggelamkan dalam banjir oleh Allah atas kekufuran dan menolak dakwah ayahnya, betapa pilunya hati baginda saat itu sehingga baginda berdoa dan bertanya pada Allah "Ya Allah, bukankah Kan'an itu anak aku dan daripada keluarga aku sendiri," rintih Nabi Nuh. Baginda merayu kepada Tuhannya dengan berkata : "Wahai Tuhanku ! Sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku sendiri dan bahawa janji-janjiMu adalah benar dan Engkaulah sebijak-bijak hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya."

Firman Allah :

"Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu bukanlah daripada keluargamu (kerana dia telah memutuskan hubungan denganmu disebabkan kekufurannya), sesungguhnya amalannya bukanlah soleh, maka janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak tahu mengenainya. Sebenarnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu tidak termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan. (71:46)

Jelas berdasarkan kisah di atas, baginda telah berusaha menyampaikan kebenaran tentang Islam, walau dakwah baginda ditolak bukan sahaja kaumnya, bahkan ahli keluarganya sendiri, orang yang rapat dalam hidup baginda. Begitu juga dengan Nabi Muhammad SAW, dakwahnya pada bapa-bapa saudaranya disambut dingin, malah dicaci, dikeji dan dihina. Orang yang lahir daripada darah daging sendiri sanggup melakukan kezaliman pada saudara mereka sendiri hanya kerana tidak mahu kebenaran (tentang Islam) disebarkan, sangat pilu, tetapi Allah Maha Mengetahui, segala sesuatu adalah milikNya, termasuk HIDAYAH...

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia jualah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan) untuk mendapat hidayah petunjuk" (28:56)

Berdasarkan ayat di atas, saya menegaskan kepada 3 perkara :

1) Manusia tidak mempunyai daya memberi petunjuk (kebenaran) hidayah pada manusia lain walaupun mereka adalah orang-orang yang kita sayangi

2) Allah sahaja yang berkuasa memberi petunjuk (kebenaran) hidayah pada manusia yang Dia inginkan tidak kira rupa, umur, kaum dan sebagainya

3) Allah sahajalah yang Maha Mengetahui setiap hamba yang berusaha (terbuka hati) mencari hidayah Allah

Apa yang saya ingin katakan ya, benara, hidayah milik Allah, Allah pemegang setiap hati, namun kita disuruh berusaha, berusaha mencapai apa yang kita mahu. Kita boleh beri seribu alasan di dunia ini, "ah, nanti sudah tua aku berubahlah taubat, muda-muda mahu enjoy" "ah nanti-nantilah solat, mengaji Al-Quran, belum nak mati pun kan sihat ini, dah tua sakit nanti buatlah" persoalannya, yakin kah ESOK MASIH ADA, duduk dan renung, andai hari ini saat ini, apa yang anda lakukan sekarang adalah yang terakhir dalam hidup anda.. Bagaimana???

"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan" (21:35)

Setiap kata-kata Allah adalah benar, dan apabila Dia mengatakan setiap bernyawa pasti mati, lalu bekalan apa yang kita bawa untuk melalui frasa selepas dunia iaitu alam barzakh (kubur) alam penantian sebelum hari kebangkitan (kiamat) dan hari perhitungan (akhirat).

Berusaha mencari hidayah Allah tidak susah, ramai yang mempersoalkan bagaiman mahu mencari sedang hati belum terbuka, hati belum terbuka adalah kerana sisa-sisa dosa semalam, umpama besi yang tidak digunakan, dibiarkan tidak disimpan, dijaga atau diubahsuai penggunaannya, lama-lama ia akan jadi rosak, buruk karat kerana berpanas dan berhujan, begitu juga hati manusia. Jika badan memerlukan nasu sebagai tenaga untuk bergerak, hati juga memerlukan tenaga untuk sentiasa bergerak melakukan kebaikan dan mencintai apa yang Allah cintai, makanannya mudah sahaja, amal kebaikan. Segala amal-amal kebaikan adalah penjana dan penggerak hati untuk terus melakukan kebaikan yang lain, asal ia dilakukan kerana Allah bukan untuk mendapat penghargaan manusia.

".... Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menhendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalah mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya." (13:11)

Jadi mulai hari ini bersihkanlah hati daripada dosa semalam, daripada berburuk sangka, khianat, dengki, kerana hati yang bersih mudah menerima tarbiyyah Illahi (dengan IzinNya) dan sentiasalah berbaik sangka pada Allah, tidak Allah tetapkan sesuatu dengan sia-sia. Semuanya bersebab dan pengakhirannya adalah sesuatu kebaikan.

"Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripa permulaannya." (93:4)

"dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati." (93:5)

"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya" (93:11)

Jalan berusaha tidak sesusah jalan untuk beristiqamah, dan saat inilah akan berlaku pelbagai ujian Allah buat hambaNya, kerana nikmat syurga Allah itu luar biasa, jadi jalannya haruslah berliku, namun jangan khuatir duhai hati, Allah sentiasa bersama kita, dan jangan sesekali merasakan diri itu jahat, dan tidak layak ke syurga, kerana syurga, neraka itu juga milik Allah, siapa yang berada dalamnya semua dibawah pengetahuan Allah, bukan manusia, namun jangan pula merasakan diri terlalu mulia untuk masuk ke syurga Allah, kerana kebongkakan itu sekelip mata Allah boleh hapuskan amal kebaikan kita, tugas kita untuk berusaha melakukan kebaikan sehingga akhir nyawa, dan berdoa agar Allah memberi rahmatNya untuk kita masuk ke syurgaNya.

"Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (12:87)

Semoga pintu hidayah sentiasa terbuka luas buat kita dan Allah tidak menariknya semula, In Syaa Allah, amin Allahumma amin. Wallahualam~

Terima Kasih